Wednesday, October 14, 2009

misteri menghantui (bab dua)

Argh!! Aku tak percaya wujudnya Dewa Cinta di dalam dunia ni. Bagai hidup dalam dongengan pula. Mustahil dia adalah realiti. Penampilannya biasa sahaja. Dia tidak memakai pakaian berjenama yang mahal harganya. Gaya rambutnya tidak seperti didandan oleh pendandan terkemuka. Cuma wajahnya kelihatan sedikit berseri-seri. Tiada pula aura-aura atau apa-apa yang memukau pada dirinya. Dia sama sahaja seperti aku. Aku pasti dia cuma budak-budak nakal yang cuma mahu mengusik aku.

Mana kamu letak kamera tu?

Aku tidak dapat menahan lagi lantas menyoal si Dewa Cinta. Aku mahu kepastian andai ini adalah sedutan daripada rancangan Bang Bang Boom. Aku tidak mahu menjadi 'bintang realiti segera' gara-gara usikan bodoh mereka.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Puas aku desak namun si Dewa Cinta tidak mahu memberi sebarang jawapan. Dia cuma mengekori aku walau ke mana aku pergi. Hairan kerana seolah-olah aku seorang yang nampak akan beliau. Aku memang berasa rimas tapi kutahan perasaan di dalam hati. Aku tidak mahu membuat kecoh di tempat awam.

Sudah. Panggil saja aku Kay. Aku memang Dewa Cinta dan nama panggilan aku adalah Kay.

Kay? Seringkas itu pengenalan kami sepanjang sejam dia mengekori aku. Tapi itu tidak cukup untuk memuaskan hati aku. Aku perlu tahu jawapan untuk segala persoalan di dalam kepala otak aku ni. Bagaimana dia kenal aku dahulu?

Aku tahu banyak yang kau fikirkan sekarang. Tak mengapa. Kemudian nanti kau akan mendapat semua jawapan untuk setiap persoalan kau.

Mendengar sahaja kata-kata Kay membuat aku lega bercampur geram. Mungkinkah dia sebenarnya gay yang hendak memikat aku. Kemudian menyamar sebagai Kay untuk menutup identiti sebenar akan dirinya. Kay aku tinggalkan. Aku mahu pulang!

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Menghadap wajah Athirah membuat aku hilang selera makan. Semua hidangan yang disediakan nampak macam sedap. Aku keliru kerana perutku sudah berkeroncong sejak tadi lantaran Kay yang mengekori aku sehingga aku tak sempat makan. Tanpa banyak bicara aku makan jua akhirnya kerana selepas makan aku mahu tidur, fikirku. Aku lihat Athirah mengukir senyuman di bibirnya. Mungkin dia gembira kerana aku menjamah makanan yang di masak olehnya. Athirah jika mengukir senyuman memang comel. Tambahan pula matanya yang sepet itu seperti tersorok jika senyumnya sampai ke 'telinga'.

Awak suka tak saya masak hari ini?

Mendengar pertanyaan Athirah membuat aku meluat. Bantut selera aku. Aku tinggalkan meja makan membawa bersama ego aku. Hampir setiap hari dia masak aku tidak sentuh. Hari ini kerana aku menikmati hidangannya buat pertama kali bukan lesen untuk dia bercakap dengan aku. Tak bolehkah Athirah biarkan sahaja aku makan dengan aman?

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Bagaimana Kay boleh berada di dalam kamar aku? Kali ini lain pula penampilan Kay. Nampak berseri-seri seolah ada cahaya yang memancar di sekeliling tubuhnya. Setahu aku, tidak pernah aku pasang lampu yang terang sebegini rupa di dalam kamar aku. Kay buat aku berpeluh.

Kau takut? Jangan risau kerana kehadiran aku di sini adalah jawapan kepada soalan kau siang tadi. Inilah keistimewaan yang diberikan kepada aku. Aku boleh tolong kau mendapatkan gadis salon yang kau nampak siang tadi. Tetapi aku ada syarat.

Syarat? Lelaki ganjil ini cuba memberi syarat kepada aku pula. Aku Danial Kamal bin Datuk Ridzuan. Aku yang memberi syarat kepada orang lain.

Apa syaratnya?

Aku mengalah kerana aku memang mahu mendampingi gadis itu. Dewa Cinta ini berjaya mencari kelemahan aku. Kalau benar dia adalah Dewa Cinta pasti kata-katanya boleh dipercayai.

Mudah. Kau hanya perlu melayan semua perempuan sama rata. Kau tidak boleh berat sebelah. Tak kira samada isteri kau atau sesiapa sahaja. Jika kau boleh berbuat baik kepada mereka, maka aku akan tunaikan hajat kau. Tetapi jika sebaliknya, aku akan pastikan kau tidak dapat mendekatinya.

Syarat karut! Aku boleh berusaha sendiri untuk mendekati gadis itu. Aku tak perlukan Dewa Cinta. Selagi aku bernafas aku tidak akan berbuat baik kepada Athirah.

Hey, Kay si Dewa Cinta! Kau boleh berambus!

Tamat bab dua

No comments:

Post a Comment