Friday, January 22, 2010

dia isteriku (bab dua belas)

Setiap hari aku menunggu Athirah di hadapan rumahnya. Samada awal atau lambat aku pasti menanti dengan sejambak bunga mawar merah di tangangku. Athirah tak pernah menolak jika aku memberinya bunga. Tetapi perempuan memang suka jual mahal agaknya. Athirah akan berlalu pergi setelah mengambil bunga yang aku beri. Lelaki pula sudah dijadikan suka memburu. Tambahan pula Athirah masih lagi isteriku kerana kami hanyalah berpisah. Aku mesti kuat berusaha. Tak sangka susah juga memikat perempuan ni.

Lu manyak rajin ya beli bunga tiap-tiap hari.

Aunty tua berbangsa cina yang menjual bunga menegur aku. Memang aku seperti sudah mendaftar sebagai pelanggan tetap di kedai bunga miliknya. Tak pernah lagi walau sehari aku tidak datang ke kedainya. Jika dahulu aku tidak akan berbual dengan Aunty ini, tetapi sekarang aku pasti akan berbual dan bertanya khabar dengannya. Tak rugi jadi orang yang peramah.

Isteri saya suka bunga la Aunty.

Hampir semua orang aku hebohkan tentang status aku yang sudah beristeri. Ramai yang tidak percaya aku sudah beristeri kerana aku juga tak kelihatan seperti suami orang.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Danial, Hakim akan datang berjumpa kau sebentar lagi.

Nama yang sudah lama tidak kedengaran. Kali terakhir adalah sebelum aku mengambil keputusan berpisah dengan Athirah. Entah kemana hilangnya Hakim kerana dia tak pula kelihatan seperti sering berjumpa dengan Athirah. Aku juga tak tahu mengapa tiba-tiba Hakim mahu bertemu dengan aku. Adakah dia berdendam dengan aku? Aku sendiri tak tahu. Dalam fikiranku sekarang, kosong.

Walau apa jua yang akan dia katakan kau jangan bertindak melulu.

Aku hairan dengan amaran Kay. Selama ini aku rasa aku bukan jenis yang bertindak membuta-tuli. Mungkin Kay hanya mahu aku menunjukkan sikap aku yang tenang untuk bermain psikologi dengan Hakim. Aku memang juara psikologi jika itulah yang mereka mahukan.

Awak ni suka bercakap besarlah Danial. Dengar kata kami. Jangan terburu-buru.

Jika kedua-duanya sudah memberikan amaran kepada aku. Nampak gayanya aku terpaksa akur dengan kehendak mereka. Nazira awal-awal lagi sudah menunjukkan muncungnya yang panjang itu.

Baiklah aku dengar kata-kata kamu berdua.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Hakim sudah tiba seperti yang dijanjikan. Aku hairan bagaimana dia boleh mencari aku di sini. Berdebar juga hati aku hendak behadapan dengannya. Aku risau jika Hakim membelasah aku nanti. Dengan badannya yang lebih besar daripadaku, adalah mustahil untuk aku menang.

Danial? Masih ingat saya, Hakim.

Sudah pasti aku ingat. Lelaki yang cuba menghancurkan rumahtanggaku. Tiba-tiba timbul pula rasa geram di hatiku melihat Hakim berani datang berjumpa denganku.

Saya selalu nampak awak beli bunga di sini. Lagipun Athirah beritahu yang awak beri bunga padanya setiap hari.

Mengapa Athirah mengadu kepada Hakim? Penat-penat aku memikat Athirah, akhirnya segala luahannya didengar oleh Hakim. Aku ini suaminya. Bukankah Athirah boleh berkongsi segala-galanya denganku.

Jadi, salahkah jika aku selalu beli bunga disini?

Aku cuba bermain psikologi dengan Hakim. Aku mahu lihat dia mengelabah. Mungkin permainan aku menjadi.

Athirah sangat gembira dengan bunga yang awak beri. Athirah rasa benar-benar dihargai. Athirah juga ada berkata yang dia dapat merasakan yang awak sangat-sangat mahu bersama kembali dengannya.

Aku jadi sayu mendengar penjelasan Hakim. Aku tak sangka Athirah beranggapan begitu. Permainan psikologi aku tidak menjadi. Rupa-rupanya pendinding Hakim lebih tebal dari apa yang kusangka. Tetapi mengapa Athirah sanggup bermain kayu tiga di belakangku selama ini? Aku jadi hairan apabila terkenangkan hal itu.

Athirah cuba menjadi cantik. Dia selalu minta nasihat daripada saya. Dia tahu sebelum ini awak memang tak mahu kepadanya. Apabila awak berubah sekang ini, pintu hatinya terbuka kembali. Untuk awak.

Aku benar-benar teruja. Athirah tak pernah berlaku curang. Cuma aku yang cemburu buta. Sesal datang menjelma. Aku perlu betulkan semua keadaan.

Danial, hari ini Athirah menanti awak di rumah kamu.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Hakim benar-benar memuaskan hati aku. Segala persoalan sudah terjawab. Kay dan Nazira semacam mengejek aku kerana tindakan aku yang bodoh selama ini.

Danial!!!

Akutidak dapat menahan sabar lagi. Aku bergegas pulang meninggalkan Kay, Nazira dan Halim. Aku mahu jumpa Athirah. Aku mahu menerima Athirah sebagaimana Athirah mahu menerima aku. Aku sudah puas merasa keperitan kehilangan Athirah dari hidupku. Kay seakan mengejar aku di belakang. Entah mengapa dia tidak mahu aku segera pulang menemui Athirah.

Bamm!!!

Aku dilanggar sebuah kereta yang muncul entah dari mana. Mengapa kebahagiaan yang aku cari penuh dengan pancaroba. Aku lihat ramai orang mengerumi aku. Termasuklah Kay yang memanggil-manggil namaku. Pandangan aku semakin gelap. Suara Kay juga sudah samar-samar ditelingaku.

Tamat bab dua belas

Saturday, January 16, 2010

langkah pertama (bab sebelas)

Pergi jumpa Athirah!

Saat ini memang mendebarkan. Sudah lama betul aku tidak mendengar khabar tentang Athirah. Sejak tempoh hari aku memang lebih banyak berdiam diri dan menyendiri. Tidak pula aku cuba merisik khabar tentang Athirah. Aku menenlefon Athirah dengan niat mahu mengajak dia keluar. Ini semua cadangan Kay dan Nazira. Mereka kini menjadi penasihat aku yang rasmi. Tujuannya adalah untuk menawan semula hati Athirah yang sedang berduka lara.

Itu saja yang kau mampu buat?

Kay seakan marah apabila aku katakan padanya aku mahu mengajak Athirah keluar menonton wayang. Selama ini aku tidak pernah tengok wayang dengan Athirah. Kalau perempuan lain memang tidak dapat kubilang dengan jari betapa ramai yang telah menemani aku menonton wayang bersama. Bukan setakat wayang, malaha pelbagai lagi aktiviti kami telah lakukan bersama. Tetapi dengan Athirah tidak sekalipun perkara itu terjadi.

Apa salahnya?

Aku rasa apa yang aku buat sudah cukup romantis. Melakukan perkara yang disukai bersama-sama. Bukankah sangat manis rasanya? Kay semacam marah pada aku. Nazira pula tidak memperdulikan aku. Aku terasa seperti tindakan aku tidak kena pula.

Lantaklah.....


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Maaf saya tak suka menonton wayang.

Hancur berkecai hatiku mendengar jawapan Athirah. Rupa-rupanya sangkaan aku meleset. Aktitiviti yang aku lakukan tidak akan menjadi manis jika hanya aku seorang menyukainya. Athirah memberi tamparan besar kepadaku. Memikat seorang yang patah hatinya lebih sukar berbanding seseorang yang baru kita kenali. Itu adalah fakta.

Tapi cerita ini kelakar.

Aku cuba memujuk Athirah supaya bersetuju denganku. Aku bagai hilang pedoman sebentar. Patutulah Kay dan Nazira tidak bersetuju dengan cadangan aku mahu mengajak Athirah tengok wayang. Akal aku mula mencari helah untuk 'memancing' Athirah.

Bukankah jawapan saya jelas Encik Danial. Saya tak suka menonton wayang.

Aku mula gelabah. Aku memang jadi hilang punca dan arah. Athirah aku lihat mahu meninggalkan aku setelah aku tak mampu lagi berkata-kata. Kelu lidahku untuk memujuk Athirah. Kali pertama aku ditolak perempuan.

Athirah.......

Aku mencapai sekuntum bunga mawar merah. Hanya itu yang mampu aku lakukan ketika ini. Gerak-geri aku ketika ini bagaikan bukan dikawal oleh diriku. Menakjubkan! Athirah tersenyum dikala aku memberikan bunga mawar itu padanya.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Kay menepuk bahu aku setelah Athirah berlalu pergi. Aku tahu sebentar tadi Kay telah membantuku. Aku tak mampu berbuat semua ini seorang diri. Memang selama ini aku sombong. Tetapi hari ini aku sudah sedar betapa lemahnya aku. Walaupun aku kelihatan gagah pada luarannya.

Terima kasih Kay.

Hanya ucapan terima kasih yang ringkas dapat aku ucapkan pada Kay. Aku tak kisah jika Kay benar-benar Dewa Cinta atau tidak kerana aku sudah menganggapnya sebagai sahabatku. Begitu juga Nazira. Memang patut aku tidak menaruh hati kepadanya walaupun pada mulanya ada perasaan begitu.

Mulai hari ini, setiap pagi awak mesti ada di sini.

Kenapa? Setiap pagi aku perlu ada di sini. Banyak lagi perkara yang aku boleh lakukan selain menunggu di sini. Aku tidak jelas dengan kenyataan Nazira.

Berikan bunga padanya. Setiap hari.

Cadangan yang bernas. Mengapa aku benar-benar lambat menangkap maksud Nazira tadi. Adakah kerana aku pertama kali memikat perempuan secara serius? Aku benar-benar dilanda keterujaan ketika ini.

Kay bolehkah kau bantu aku?

Aku terkenang semula ketika Kay menulis kad yang diletakkan bersama bunga yang aku berikan kepada Athirah suatu masa dulu. Aku mahu Kay mengajar aku menulis ayat-ayat puitis kepada Athirah.

Memang tujuan aku untuk membantu kau Danial.

Jawapan Kay berbaur harapan padaku. Kini diriku dipenuhi semula harapan. Langkah pertama sudah aku mulakan. Aku mahu memiliki semula Athirah.

Tamat bab sebelas

Monday, January 11, 2010

dewi cinta (bab sepuluh)

Patutlah tindak-tanduk Nazira semacam sahaja kebelakangan ini. Paling aku hairan bagaimana Nazira boleh tahu segala isi hati aku. Rupa-rupanya ini semua adalah rancangan mereka. Nazira sanggup berpakat dengan Kay demi rancangan mereka.

Jika manusia diciptakan berpasangan, kami juga begitu.

Entah bila masa pula aku minta penjelasan dari mereka. Kay asyik tersenyum sejak pertemuan semula kami. Aku sebenarnya geram dengannya yang menghilangkan diri sejak kejadian tempoh hari. Bagiku, Kay juga harus bertanggungjawab. Tetapi hari ini lagak Kay seperti tiada apa-apa yang pernah terjadi.

Danial sudah tiba masanya kita lebih serius.

Kata-kata yang keluar dari mulut Nazira juga sudah tidak sedap didengar lagi. Tetapi aku pasrah. Aku tahu semua ini ada hikmahnya. Pasti ada pengajaran disebalik semua ini.

Danial, kami akan bantu kau.

Aku tahu kamu berdua akan bantu aku. Tak habis-habis perkataan itu yang aku dengar. Bantu! Bantu! Bantu! Padahal aku sedang buntu ketika ini.

Cakaplah bagaimana?


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Habis basah kuyup aku dikerjakan Kay. Aku dimandikan oleh Kay. Namun aku masih berpakaian cuma ritual ini aku tak pasti akan kebenaranyanya. Kononnya hendak membersihkan diri aku. Aku hairan mengapa Kay tidak membiarkan aku mandi sendirian. Bukankah lebih elok? Nazira yang duduk diluar bilik air hanya tergelak besar.

Danial, dalam perhubungan perlu ada kejujuran. Bukan sahaja terhadap pasangan. Tetapi juga keluarganya.

Kay bersuara. Aku rasa ada betulnya kata-kata Kay. Selama ini aku hanya berpura-pura baik dihadapan keluargaku dan juga keluarga Athirah. Aku hanya pandai menipu mereka selama ini. Walaupun ibu bapaku sedah tahu akan kejadian ini, namun aku tidak pernah berhadapan dengan keluarga Athirah.

Minta maaf dengan mereka Danial.

Aku tersentak mendengar kata-kata Kay. Aku tidak pernah terfikir selama ini untuk meminta kemaafan dari mereka. Mungkin inilah masanya aku bertindak.

Pergilah Danial. Kami sentiasa dibelakang awak.

Baiklah. Aku akan pergi. Tetapi Kay masih didalam bilik air bersamaku. Tak sanggup aku biarkan dia menonton adegan aku menukar pakaianku.

Boleh kau keluar? Biarkan aku mahu bersiap.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Mahu sahaja aku bangun menutup mulut ibu bapa Athirah. Teruk juga aku dimarahi mereka tadi. Segala macam kata-kata yang menusuk kalbu terpaksa aku dengar. Walaupun aku takut untuk berhadapan dengan mereka, tetapi aku benar-benar puas hati. Baru aku tahu apa itu sebenarnya erti kejujuran dalam perhubungan. Aku rasa tiada ruginya jika aku bersikap jujur.

Hati Athirah terluka. Pergilah pujuk dia.

Kata-kata akhir dari bapa Athirah sungguh menyentuh. Tidak kusangka dia akan menyebelahi aku jua. Mungkin kerana kami lelaki membuat dia lebih memahami aku.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Sekarang aku sudah bertemu dengan keluarga Athirah. Apa lagi yang aku perlu buat.

Penat sudah mulut aku bercerita tentang pertemuan aku dan keluarga Athirah kepada Kay dan Nazira. Mereka seolah-olah teruja pula sedangkan inilah akibat kepada permainan yang mereka rancangkan. Kalu diikutkan hati mahu saja aku heret mereka sekali berhadapan dengan keluarga Athirah. Memikirkan kewujudan mereka yang tidak masuk akal, aku menarik balik hasrat hatiku.

Baiklah. Kau sudah mendapat pengajaran pertama. Sekarang mari kita mulakan langkah kedua.

Inilah masa yang aku tunggu. Mulakan langkah seterusnya dengan penuh misteri. Entah mengapa Kay dan Nazira selalu memberi ayat tergantung. Tak pernah mahu berterus terang tentang rancangan mereka.

Kita akan pikat semula Athirah!

Tamat bab sepuluh

Friday, January 1, 2010

imbau kembali (bab sembilan)

Malam itu aku menanti keplangan Athirah. Rumah yang bersepah aku kemas kembali seperti tiada apa yang berlaku. Selama ini aku tak pernah menyentuh walau sekalipun kerja-kerja rumah. Sejak hari pertama aku menikahi Athirah, memang dia yang melakukan semua kerja-kerja di dalam rumah ini. Jika Athirah mengajak aku 'bergotong-royong' mengemas rumah, pasti aku akan mengelak. Ada sahaja alasan aku asalkan aku tidak perlu membazir tenaga membuat kerja yang remeh-temeh itu. tetapi malam itu berlainan dari kebiasaannya. Aku mengemas, menghias, malah aku turut memasak. Aku cuba menyediakan hidangan yang istimewa. Malangnya aku memang tidak tahu memasak. Maka aku cuba menyediakan hidangan yang ringkas tetapi cukuplah sekadar menunjukkan aku telah berusaha membuat yang terbaik. Walaupun hakikatnya aku tak pernah berbuat baik kepada Athirah.

Perfect!!

Puas hati aku melihat hidangan yang tersedia di atas meja makan siap dengan hiasannya.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Athirah tiba ke rumah dengan menaiki teksi. Aku hairan kerana dia tidak pulang dengan sepupunya yang gatal itu. Tetapi aku masih berlagak tenang walaupun sebenarnya Tuhan sahaja yang tahu betapa aku sebenarnya dialanda pelbagai jenis perasaan ketika ini.

Eh, awal awak balik hari ni?

Ya, memang awal. Bagaimana aku mahu menghabiskan masa diluar sedangkan isteriku juga bermain kayu tiga. Aku seperti hampir meluahkan segala-galanya tetapi tindakan aku terhalang apabila aku terlihat Kay berada di belakang Athirah. Kay seolah-olah memberi amaran kepada aku.

Awak mandi dulu nanti kita makan sama-sama.

Aku sekadar memberi alasan untuk keluar berbual dengan Kay. Aku rasa Kay tak perlu ada ketika ini. Aku mahu saat ini cuma ada aku dan Athirah sahaja.

Kay kau boleh pergi. Aku tahu apa yang aku buat.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Athirah duduk di hadapan aku. Gugup. Aku seolah baru pertama kali berhadapan dengan Athirah. Terasa berat untuk aku berkata-kata. Aku lihat Athirah sentiasa tersenyum. Kami bertentang mata. Aku juga hairan mengapa malam itu aku terasa aku benar-benar mahu melihat ke dalam mata Athirah. Jika selama ini aku melarikan diri daripadanya. Tapi bukan malam itu.

Makanlah. Jangan malu-malu. maaf jika tak sedap.

Aku mempelawa Athirah makan. Walaupun aku yang tiada selera sebenarnya. Aku cuba menutup kejanggalan malam itu.

Pandai juga awak masak.

Athirah memuji aku. Mungkin kali terakhir dia memuji aku. Kerana selepas itu aku terpaksa berterus-terang padanya. Kami tidak lagi berjodoh untuk bersama. Aku terpaksa melepaskan Athirah. Kata-kata Kay pada siang itu sering bermain-main di fikiran aku sehingga kepulangan Athirah.

Saya......

Selesai Athirah makan aku cuba berbicara dengan Athirah. Aku mesti menyelesaikannya. Athirah seolah mengerti apa yang akan terjadi. Athirah diam. Aku lihat Athirah mula menitiskan air mata. Bagai tidak tertahan aku juga menitiskan airmata. Aku cuba menjelaskan kepada Athirah akan segala-galanya. Yang kedengaran hanyalah suaraku yang tersekat-sekat. Aku peluk erat Athirah yang tidak pernah aku perlakukan begitu selama ini.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Jauh termenung?

Suara Nazira mengejutkan aku dari lamunan. Sejak aku berpisah dengan Athirah, Nazira selalu menemani aku. Sekadar menjadi teman aku berbicara. Aku sudah pandai lepak di kedai mamak sekarang. Aku terpaksa kerana Nazira memang tidak mahu ke kafe-kafe ternama di kota ini. Membazir katanya kerana harga bagi secawan kopi tak berbaloi jika dibandingkan dengan kuantitinya. Di kedai mamak lagi murah katanya.

Saya teringat isteri saya.

Memang aku sudah berterus-terang dengan Nazira akan status aku.

Athirah? Awak rindu padanya?

Sudah tentu aku rindu padanya. Aku tidak puas hidup dengan Athirah. Aku mensia-siakan peluang semasa kami masih bersama. Aku buta ketika itu. Tetapi kini aku sudah celik.

Saya boleh tolong tetapi ada syaratnya.

Syarat? Aku benar-benar hairan mengapa mereka yang mahu membantu aku beriya-iya mengenakan syarat. Sama seperti Kay yang kononnya mahu membantu aku. Kini hilang entah kemana. Dewa Cinta konon. Rumahtangga aku musnah kerananya.

Belum berkecai lagi. Masih boleh diselamatkan. Awak jangan putus asa.

Tamat bab sembilan