Monday, August 27, 2018

kerja yang xabis

sunyi...
sepi aku disini....

tapi aku tiada mengerti...
aku cuma mahu fahami...

selami apakah erti...
bila aku mula sendiri...

diam...
xkan aku berdiam...
selagi belum aku dikiam...


aku pon xingat bila aku buat puisi xhabis ni..
permulaan untuk menyambung siri 3

Wednesday, August 15, 2018

Kerja Kuat. Pesanan pengarang

Nak tulis kisah Ameer Asyraf. nak sambung kisah mingguan yang dah lama terhenti. 8 tahun sepi blog ni. Idea dah muncul. memori kesini kuat memanggil untuk menyambung kerja yang tidak sempat aku habiskan. Semoga siri booduckbabsale berpanjangan.

Sunday, July 11, 2010

jaguh kampung (bab lima)

Suka betul aku melihat Fatin berselendang. Tambah-tambah lagi selendang yang aku hadiahkan. Bukan hendak memuji diri sendir, tetapi memang padan sungguh dengan Fatin. Aku sudah jatuh cinta? Kadang-kadang aku berangan-angan sendiri. Tetapi bolehkah aku menikmati keindahan bercinta seperti insan lain? Kotak fikiranku mula memainkan irama lagu-lagu berentak perlahan yang mendayu-dayu. Bolehkah Fatin menerimaku bukan sebagai teman biasa? Takut pula pabila aku mula memikirkannya. Biarlah kami berkawan begini sahaja. Walaupun aku terpaksa menyembunyikan hakikat sebenarnya.

Abang dah sarapan?

Fatin ni suka betul mengejutkan aku dari lamunan. Aku menggeleng tanda belum menyentuh makanan pagi itu. Rindu pula mahu makan nasi lemak Mak Wan. aku tunjukkan 2 jari sebaga tanda mahu dua bungkus.

Untuk abang hari ni Fatin bagi special.

Aku rasa bukan hari ini sahaja, mlah setiap kali aku beli nasi lemak di sini pastii Fatin akan berkata begitu. Aku tak pernah meminta, tetapi rezeki jangan ditolak.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Aku perasan sesutu yang lain pada diri Fatin. Tetapi aku tak pasti. Puas sudah aku perhatikan.

Apa yang kau pandang?

Zaki! Samseng kampung yang tak habis-habis membuat kacau. Aku memang meluat dengan sikapnya. Entah apa yang dia mahu dariku.

Aku yang beri gelang mutiara tu padanya! Kau marah?

Ya! gelang mutiara yang Fatin pakai itu baru aku perasan. Itulah yang lain pada Fatin. Aku memang rasa sedikit marah.

Aku bagi gelang tu sebagai tanda yang dia milik aku. Aku tak suka tengok kau rapat dengan Fatin!

Amboi! sedap betul mulut samseng ni berkata-kata. Siapa kau untuk beri amaran begitu padaku? Aku memang tak pernah takut pada Zaki. Samseng taik minyak! Amarahku mula meluap-luap.

Zaki! Kamu mahu apa di sini? Mahu buat kacau?

Mak Wan cuba menenangkan keadaan apabila di melihat keadaan sedikit tegang antara aku dan Zaki. Jika tiada masuk campur dari Mak Wan aku rasa pasti kami akan berentap di situ.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Sedikit sebanyak kata-kata Zaki buat aku berfkir. Aku jadi marah, sedih, rendah diri dan macam-mcam lagi perasaan yang kurang elok. Aku memang sedar kekurangan aku. Aku masih ingat siang tadi sebelum beredar pulang Zaki sempat melaungkan amaran padaku.

Woi bisu, kau ingat pesan aku tadi!

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga. Kesedihan mula menguasai diri aku. Jika ini yang mereka mahukan maka aku tidak akan berlengah lagi. Aku berkemas pulang ke Kuala Lumpur. Kali ini aku pulang tanpa memberitahu Fatin. Cuma ibu sahaja yang tahu. Biarlah aku pergi membawa diri.

Tamat bab lima

Monday, June 21, 2010

gadis idaman (bab empat)

Fatin oh fatin. Lama betul rajuk hatinya padaku. Semakin lama semakin tak keruan aku melayan karenah Fatin. Puas aku pujuk pelbagai cara. Tak juga berkurang rajuknya. Apa lagi jalan yang aku ada. Takkan aku hendak berdiam diri sahaja. Pernah aku tak membalas kerana aku sudah buntu. Tetapi Fatin pasti akan mencari jalan supaya aku melayannya. Melayan hati yang terluka.

Abang boleh tolong saya?

Aku member sekeping nota kepada Abang Zam, pekerja di syariikat yang paling rapat dengan aku. Mungkin dengan Abang zam sahaja aku boleh berkongsi masalah ini.

Mahu apa?

Peluang baik. Aku sedia menceritakan kepada abang Zam, walaupun terpaksa membuka buku nota yang baru. Asalkan apa yang terpendam dalam hati aku ini dapat aku kuahkan.

Oh, abang faham. Tak sangka kau ini mat bunga juga ya! Cantik tak orangnya?

Abang Zam nampaknya cuba berseloroh dengan aku. Aku hanya mengangguk perlahan. Malu juga apabila Abang Zam bertanya begitu.

Beginilah, abang akan tolong kau, tetapi kau mesti buat semua yang abang suruh ni. Janji tau.

Ah, sudah lama aku tidak mendengar perkataan itu. Janji! Apa sajalah Abang Zam. Asalkan fatin tak merajuk lagi padaku. Aku sanggup.

Baguslah kalau kau sudah setuju. Begini Ameer. Mingu ini kau balik kampung. Kau pergi jumpa Fatin.

Semudah itu? Setelah aku tulis panjang berjela, Abang Zam beri aku penyelesaian yang semudah itu? Tetapi mengapa aku tak terfikir awal-awal? Aduh! Bebal juga aku ni. Baiklah. Aku akan balik kampung hujung minggu ini. Harap-harap tak ada lagi kes seperti dahulu.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Susah betul nak dapat tiket sekarang ni. Kebetulan pula cuti sekolah. Nasib baik aku sempat beli tiket tadi. Jika tidak pasti semakin lama Fatin dingin denganku. Tetapi tak pasti pula jika tindakan aku ini betul kerana semalam apabila aku beritahu Fatin yang aku mahu pulang ke kampung, Fatin langsung mendiamkan diri. Tak berbalas lagi mesejku hingga pagi tadi. Apalah lagi silapku kali ini.

Ingat seperkara lagi Ameer, nanti bawa sekali benda yang Fatin suka.

Teringat pula pesan Abang Zam. Nanti sampi di kampung barulah aku cari benda itu. Agak sukar mendapatkan ditempat lain. Pasti tak sama dengan yang ada di kampung.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Pukul berapa sampai?

Mesej Fatin mengejutkan aku dari tidur. Tersentak aku dibuatnya. Baru sekarang Fatin balas?

Abang nak beritahu Fatin atau tidak? :(

Aduh meradang pula apabila aku tak balas mesejnya. Sabar. Aku baru hendak menaip. Ini jika dibiarkan, semakin lama boleh jadi semakin parah!

Petang sikit abang sampai Fatin. Abang masih dalam perjalanan.

Tak tahulah jika Fatin masih tak puas hati jika aku balas begitu.

Suruhlah driver bas pandu laju sikit!

Aduhai Fatin. Adakah ini gurauan? Bukankah lebih merbahaya jika aku beritahu pada pemandu bas pandu dengan lebih laju. Pasti ada yang tak kena. Tapi demi mahu mengambil hati Fatin aku layankan sahaja karenahnya.

Iyalah Fatin. Nanti abang suruh pemandu bas bawa laju sikit ya!

Aku cuba memujuk.

Suruh laju lagi!

Eh, macam-macam pula permintaan Fatin ni. Sudah kuturut ada lagi yang mendatang. Tetapi seronok pula pabila Fatin semakin rancak membalas mesej aku. Baik aku teruskan begini.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Lega sungguh hatiku. Akhirnya tiba juga aku di sini dengan selamat. Nak masuk kampung kena cari teksi pula. Malang sungguh bas tak masuk ke kampungku. Aku seraya menahan sebuah teksi sambil mencatat sesuatu ke atas kertas. Pemandu teksi nampaknya faham tujuanku.

:-)

Apa pula kali ini? Fatin tak habis-habis bermain symbol yang ada dalam telefon bimbit. Aku kadang-kadang keliru tetang maksudnya. Tetapi aku berpura-pura faham seolah-olah aku sudah biasa dengan semua ini. Ah aku terlupa sesuatu. Bagaimana aku mahu beritahu pemandu teksi ini aku mahu berhenti di simpang depan itu. Aku menepuk bahu pemandu teksi sambil menghulurkan kertas kepadanya.

Awak ni tak reti nak cakap ke? Main hulur-hulur kertas. Bahayalah!

Pemandu teksi sudah marah. Tetapi bagaimana? Aku bisu. Masakan aku boleh bicara seperti biasa! Aku rasa terguris tetapi aku perlu maklumkan kepada beliau. Sekeping lagi kertas aku hulurkan. Menggeletar tangan aku kerana menahan geram. Beginikah orang seperti aku patut dilayan?

Oh maafkan pakcik nak.

Sejuk sedikit hati kecilku pabila mendengar ungkapan itu. Maaf. Bukan semua orang biasa melafaskannya jika diselubungi ego yang menebal.

Baiklah nak, tunjukkan pakcik simpang mana yang anak maksudkan.

Pakcik ni memang pandai mengambil hati. Cepat juga dia sedar kesilapannya. Aku tak mengambil hati atas perbuatannya kerana aku sedar manusia memang sering lakukan kesilapan. Bezanya samada mereka cepat atau lambat sedar kesilapan yang telah mereka lakukan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Selesai solat Asar aku meminta izin ibu untuk pergi ke rumah Fatin sebentar. Petang itu cerah lagi nyaman. Aku rasa tenang walaupun sebentar tadi aku berasa sedikit gelabah dengan pelbagai asakan dari Fatin meminta itu dan ini. Baiklah. Aku mulakan langkahku kerumah Fatin.

Hati-hati ya nak.

Ibu berpesan dari atas beranda. Aku mula mencatat beberapa perkara. Kononnya mahu bersiap sedia mengahadapi rajuk orang perempuan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Lambat sampai?

Fatin menyapa aku. Tanpa aku sedar rupanya Fatin berada dibelakangku. Terperanjat aku dibuatnya. Aku menghulur sekeping kertas sebagai mula bicara.

Betul ni? Oh sekarang baru ingat nak balik kampung ya!

Aduh! Fatin menyindir aku. Tak sangka pedas juga kata-kata yang keluar dari mulut Fatin. Aku mula menjelaskan satu persatu. Walaupun agak payah, tetapi aku perlu buat semua ini.

Baiklah, kali ini Fatin maafkan abang.

Oh lega sungguh rasa hatiku. Menggigil-gigil jemariku menulis tadi. Rasanya seperti duduk di hadpan singa lapar yang asyik memerhatikan mangsanya. Fatin bagaikan singa sedang aku cuma tius kecil yang ketakutan.

Apa dalam beg tu Abang Ameer?

Terlupa pula aku tentang hadiah di dalam beg yang aku bawa ini.

Untuk Fatin?

Aku hadiahkan Fatin sehelai selendang bercorak batik khas untuknya. Selendang itu aku pakaikan. Tak salah lagi, memang Fatin cantik memakai selendang itu. nasib baik Fatin mudah dipujuk.

Tamat bab empat

Wednesday, May 12, 2010

demam cinta (bab tiga)

Resah. Gelisah. Hati ini berdebar-debar. Sungguh luarbiasa perasaan ini. Aku tak pernah mengalaminya. Cuma kebelakangan ini perasaan itu selalu muncul. sudah seminggu aku balik ke sini memulakan semula tugas aku. sudah seminggu juga aku tidak bertemu Fatin. Kami cuma berhubung setiap hari melalui mesej-mesej ringkas. Rindu pula padanya.

Kring! Kring!

Aah, ada panggilan masuk. Bagaimana aku mahu menjawab panggilan di telefon bimbitku. Kacau! Tak pernah aku terima sebarang panggilan sebelum ini. Siapa pula yang telefon ni?

Kenapa abang lambat jawab?

Fatin rupanya. Salah aku juga meminta yang bukan-bukan. Kononnya aku rindu untuk mendengar suaranya. Sekarang Fatin sudah menghubungi aku. Tapi.........

Abang jangan bimbang. Fatin faham. Fatin cuma mahu beritahu Fatin sihat di sini.

Lega aku mendengar suara ceria Fatin. Malangnya aku tiada dapat berbicara dengannya. Alangkah baiknya jika aku boleh bercakap.

Minggu hadapan ada kenduri tahlil di rumah. Abang baliklah ye.

Jantung aku semakin kencang degupannya. Aku gembira, teruja! Fatin juga seolah-olah rindukan aku. Tapi aku tak pasti samada sangkaan aku benar-benar tepat ataupun meleset.

Abang jaga diri baik-baik ya. Assalamualaikum.

Waalaikukmsalam Fatin. hanya Tuhan yang tahu perasaan aku ketika Fatin menghubungi aku tadi. Tak sangka memiliki telefon bimbit itu satu rahmat buatku. Jika selama ini aku takut untuk memiliki telefon bimbit kerana kekuranganku, Fatin berjaya membuat aku merasa sebaliknya.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Maaf Ameer, minggu ini awak kene kerja lebih masa.

Aduh! Hujung minggu ini aku terpaksa bekerja. Banyak stok yang baru sampai. Nampaknya aku tak dapat menghadiri kenduri Fatin. Aku mesti beritahu Fatin. Pertama kali aku memungkiri janji.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Sudah dua hari Fatin tak balas mesej aku. Sibuk agaknya. Tak mengapalah. Mungkin apabila Fatin sudah selesai urusannya nanti barulah dia balas mesej aku.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Penantian itu satu penyeksaan. Benarlah seperti apa yang orang katakan. Betapa aku rasakan derita merindu. Fatin masih belum membalas mesejku sejak hari itu. Rasanya Fatin tak pernah sesibuk ini. Selama ini walau sesibuk manapun, fatin pasti akan mencuri ruang untuk membalas mesejku. Tapi mengapa ketika ini Fatin berdiam diri. Baik aku mengorak langkah.

Assalamualaikum fatin. Sibuk?

Mesej sudah dihantar. Cuma aku sekali lagi terpaksa menunggu balasannya. Trrt! Telefon bimbitku bergetar. Ini petanda yang baik.

X

Ringkas sangat mesej yang Fatin balas. Ini sudah jadi petanda tak baik. Pelik. Apakah gerangannya? Telefon bimbitku bergetar sekali lagi.

Fatin merajuk! :(

Sudah! Pertama kali aku berhadapan dengan perempuan yang merajuk. Teringat aku kepada kisah yang pernah diceritakan oleh rakan sekerjaku. Kononnya perempuan yang merajuk ini susah dipujuk.

Kenapa abang tak pujuk Fatin?

Bertalu-talu pula mesej masuk. Aku tak pernah memujuk. Pasti susah nak susun ayat. Bagaimana ya?

Tamat bab tiga

Wednesday, March 10, 2010

jalinan hubungan (bab dua)

Seperti yang dijanjikan semalam, Fatin mahu bertemu aku di kedainya hari ini. Aku memang pantang jika berjanji tetapi tidak ditepai. Belum pernah aku sekalipun memungkiri janji. Kerana itulah aku geram jika mendengar janji-janji manis yang ditabur tetapi kesudahannya, hampas!

Abang tunggu sekejap ye, Fatin mahu tolong mak berkemas.

Memang laku nasi lemak Mak Wan. Sekejap sahaja sudah habis. Setiap hari mereka mula berniaga seawal 7 pagi, tetapi tak sampai jam 10 selalunya nai lemak dan lauk pauk yang lain pasti sudah habis.

Sudah siap. Marilah.

Mahu ke mana pula? Katanya ada sesuatu mahu ditunjukkan kepada aku tetapi bukan di sini. Mahu berahsia pula. Aku tidak membantah. Mungkin Fatin mahu menunjukkan sesuatu yang penting kepada aku.

Fatin sudah ada telefon bimbit.

Telefon bimbit. Selama ini aku tidak pernah terfikir untuk memilikinya. Bagiku hanya mereka yang boleh bercakap layak memilikinya. Aku sedikit tersinggung.

Abang ni kolotlah. Bukankah masih ada sistem pesanan ringkas.

Fatin tahu aku tersinggung tadi. Dia benar-benar faham akan diriku. Tetapi kata-kata Fatin ada benarnya. Beria-ia benar Fatin mahu berhubung dengan aku. Mengapakah aku jadi sebegini lembap. Akibat terlalu teruja habis aku belek telefon bimbit baru itu.

Kalau abang nak, Fatin boleh temankan abang pilih telefon yang elok.

Aku tak pasti Fatin sengaja menduga aku atau benar-benar ikhlas. Jauh disudut hatiku ada keinginan untuk memilikinya juga. Aku mengeluarkan buku nota kecl yang selalu aku bawa untuk aku menulis nota-nota ringkas, juga sebagai kaedah untuk aku bekomunikasi. Bukan semua orang faham bahasa isyarat.

Esok?

Aku masih tidak pasti samada aku yang sepatutnya teruja ataupun Fatin. Sebaik sahaja aku membrikan persetujuan, Fatin yang nampak begitu gembira. Aku tidak pernah dapat 'berbicara' panjang dengan Fatin selama ini. Mungkin kerana itulah agaknya Fatin nampak gembira kerana mulai esok, pasti banyak yang dapat kami 'bualkan'.

Abang janji jangan tipu Fatin ye

Sekali lagi aku dipaksa untuk berjanji.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Malam tadi agak payah untuk aku melelapkan mata. Seperti anak kecil, akibat teruja pasti aku akan mengalami kesukaran untuk tidur.

Assalamualaikum!

Alamak! Fatin sudah datang. Pasti aku sudah lewat. Tetapi rasanya aku sudah bangun cukup awal pagi ini. Nampaknya Fatin yang benar-benar teruja berbanding aku.

Naiklah dahulu Fatin, kita bersarapan. Abang Ameer belum mandi lagi.

Terbongkar rahsia aku yang baru sahaja turun dari katil. Ibu memang pandai melayan tetamu. Tambahan pula ibu sudah lama mengenali Fatin. Tanpa membuang masa aku bergegas ke telaga di belakang rumah.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Fatin tidak banyak merungut walaupun terpaksa membonceng motorsikal bersamaku untuk ke pekan. Malah ada ketikanya aku dapat rasakan Fatin memelukku erat dari belakang. Sedang aku tidak memecut dengan laju. Fatin memberikan isyarat untuk berhenti di sudut hujung deretan kedai dihadapanku. Di sini rupanya Fatin membeli telefon bimbit.

Marilah abang Ameer. Kita cari telefon yang cantik-cantik!

Perlukah aku telefon yang cantik sedang fungsinya hanyalah untuk menghantar pesanan ringkas. Ketika ini aku tiba-tiba disapa oleh sesorang yang aku kenali.

Hoi budak bisu!

Suara Zaki memang kuat dan cara dia menegur aku benar-benar menyakitkan hati. Zaki memang dikenali sebagai samseng di kampung. Tetapi Zaki pandai mengambil hati orang-orang kampung membuatkan dia digeruni tetapi tidak dibenci oleh masyarakat di sana.

Oh, Fatin pun ada?

Tiba-tiba berubah pula nada suara Zaki. Memang jaguh lakonan. Kerana itulah juga aku tidak menyukai Zaki sejak dari dahulu lagi. Bagiku, Zaki hanyalah samseng tahi minyak.

Kau jangan rapat sangat dengan Fatin. Nahas kau nanti.

Sebelum berlalu Zaki sempat membisikkan amaran kepadaku. Hatiku panas. Bisikan Zaki umpama lalat yang bermain-main di tepi telinga.

Tamat bab dua

Sunday, February 28, 2010

dengan rendah hati (bab satu)

Ameer Asyraf, hari sudah siang nak!

Menggigil! Memang sejuk mandi di telaga pagi-pagi begini. Amat syahdu walau untuk menyentuh setitis air. Tambahan pula malam tadi hujan turun dengan lebat. Aku bukan seperti kambing yang takutkan air. Tetapi jika beginilah keadaanya. Aku lebih rela menangguhkan hajatku untuk mandi tengah hari nanti. Mandi atau tidak bukan ada yang akan perasan nanti. Cukuplah sekadar membasuh muka dan membasahkan sedikit rambutku. Siap!!

Belikan nasi lemak depan warung Haji Din ye Ameer.

Seluruh kampung tahu betapa sedap nasi lemak depan warung Haji Din. Dari kecil hingga sekarang, jika aku punya peluang pasti aku akan ke situ. Air tangan Mak Wan bukan calang-calang. Selain ibuku, masakan Mak Wan juga menjadi kegemaranku. Cuma ada satu lagi sebab mengapa aku tidak menolak jika ibu mahu aku membeli nasi lemak di situ.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Abang Ameer sudah lama balik?

Setiap kali pulang ke kampung perasaan rindu memanggil aku ke gerai kecil mereka di hadapan Warung Haji Din. Mak Wan seorang ibu tunggal yang membesarkan satu-satunya anak hasil perkongsian hidupnya dengan arwah Pak Kasim. Nasib baik Haji Din membenarkan Mak Wan berniaga nasi lemak di hadapan warungnya sejak Pak Kasim meninggal dunia.

Nah, Fatin belanja abang sebungkus lagi nasi lemak. Inipun entah cukup entah tidak.

Fatin tergelak kecil. Gembiranya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Agaknya Fatin tahu aku gemar nasi lemak di sini. Nombor satu dalam dunia! Sudah lama aku tidak pulang ke kampung. Fatin sudah semakin cantik. Patutlah setiap kali Fatin memanggil namaku, aku rasakan bagai ada panahan elektrik yang merenjat tubuh badanku.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Baik pula hati Fatin mahu menemani aku pulang. Lama tak jumpa agaknya.

Fatin tahu abang belum mandi bukan?

Aduh. Malunya aku. Bagaimana Fatin boleh tahu? Sudah aku sisir rapi rambutku agar dapat aku tunjukkan seolah-olah aku sudah menyiram air membasahi tubuhku. Pewangi badan pula sudah aku sembur dari hujung rambut rambut hingga hujung kaki.

Fatin kenal abang dah lama. Abang tak boleh tipu Fatin.

Sekali lagi Fatin tergelak kecil. Ketika itulah juga aku mahu membalas kenyataan Fatin tadi. Sepatutnya masa-masa begini harus dimanfaatkan sebaiknya. Berbual dan bergurau senda. Tetapi aku hanya mampu tersenyum tersipu-sipu. Aku sedar akan kekuranganku ini benar-benar membataskan pergaulan aku. Aku disahkan bisu oleh doktor setelah menghidap demam panas yang teruk 15 tahun dahulu.

Abang esok datang ke warung ye. Fatin nak tunjuk sesuatu.

Walaupun aku punya kekurangan, tetapi Fatin melayan aku seperti orang yang normal. Hanya dia sahaja teman aku yang paling rapat di kampung ini. Bersama Fatin buat aku rasa istimewa.

Tamat bab satu.