Sunday, November 15, 2009

mainan perasaan (bab enam)

Mengapa kau tolong aku?

Aku bertanya pada Kay. Hari ini aku sedikit lapang. Cuma tengah hari nanti aku perlu balik makan tengah hari bersama Athirah. Kononnya hari ini dia menyediakan masakan kegemaran aku. Kesempatan ini aku gunakan untuk keluar kerana kepala aku berserabut betul semalam. Kay pula memang tiada kerja lain selain menjadi agen pencari jodoh. Entah berapa pula gaji yang diterima untuk kerja sebegitu.

Kerja ni mana ada gaji Danial.

Sekali lagi salah guna kuasa berlaku. Aku tidak meminta Kay membaca fikiranku sebaliknya menjawab soalan aku. Seperti tiada apa yang boleh aku sembunyikan daripada pengetahuan Kay. Susah begini.

Kau yang minta tolong. Aku cuma mahu menunaikan tanggungjawab aku. Percayalah jika kau bertindak sendirian memikat Nazira pasti kau takkan dapat memlikinya.

Ceh. Begitu yakin dia nerkata begitu. Entah bila masa pula aku meminta pertolongannya. Selama ini aku tidak pernah punya masalah mendapatkan perempuan. Mengapa pula kali ini? Dunia belum mahu kiamatkan? Lagipun aku memang tidak pernah dengar Dewa Cinta benar-benar wujud!

Kau silap Danial.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Aku silap? Bagaimana aku boleh silap jika sekalipun Kay tidak pernah membuktikan dia benar-benar boleh menemukan cinta sesama manusia. Selama ini aku cuma menganggap segala yang terjadi adalah kebetulan semata-mata. Aku mahu menguji Kay.

Jika benar kau Dewa Cinta, aku mahu kau pisahkan pasangan kekasih itu.

Selama ini tugas Dewa Cinta menyatukan cinta, tapi kali ini aku mahu dia buat sebaliknya pula. Aku lihat wajah Kay berkerut. Pasti kepalanya pening memikirkan permintaan aku yang bercanggahan dengan tugasnya.

Kau mahu yang itu? Baiklah.

Kay memetika jarinya. Seraya itu pasangan kekasih yang dihadapan mata aku tadi bertengkar. Tadi merekalah yang paling mesra bercanda asmara di khalayak umum. Tetapi kali ini mereka bagai musuh yang sudah lama berdendam. Aku terkedu seketika. Ada sedikit rasa kagum di dalam hati. Masakan satu petikan jari sudah memadai untuk membuat pasangan kekasih itu berpisah.

Mengapa kau tak petik jari sahaja supaya aku dan Nazira boleh bersatu.

Aku hairan. Aku dilayan tidak adil sedangkan Kay mampu menyatukan kami.

Kau perlu berusaha. Bukan semua perkara boleh kau dapat hanya dengan memetik jari. Kau perlu tahu seni memikat wanita.

Alasan paling karut pernah aku dengar. Seni memikat wanita? Lebih mudah jika ditabur duit di hadapan mata mereka. Yang kelabu mata pasti mendampingi aku. Tak pernah lagi ada wanita yang menolak jika aku berbuat demikian.

Sekali lagi kau silap.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Apa sahaja yang aku katakan pasti silap. Entah kenapa dengan Kay hari ini. Serba-serbi tak kena. Malah aku lihat Kay dari tadi tidak senang duduk.

Danial, kau kena pulang sekarang. Athirah menanti kau di rumah.

Aku seolah-olah terlupa pula janji aku pada Athirah hari ini. Tak tahu pula mengapa aku mengambil berat akan Athirah kebelakangan ini. Apabila aku memikirkan tentang Nazira, Athirah pasti muncul bersama.

Aku takkan ada di sini selama seminggu. Jika ada apa-apa kesulitan kau selesaikan sendiri.

Baguslah begitu. Selama ini kehadiran Kay betul-betul mengganggu rutin harian aku. Seminggu ini dapatlah aku gunakan sepuas-puasnya untuk bersenang-lenang. Mungkin aku boleh meluangkan masa yang lebih dengan Nazira barangkali. Naluri lelakiku mula memasang angan-angan.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Kereta siapa pula 'parking' menghadang perjalananku. Tidak aku kenalai, malah tidak pernah pula aku nampak kereta ini sebelum ini. Kawan Athirah barangkali. Biarlah aku 'park' di luar sahaja. Sebentar lagi jika kawannya beredar aku alihkan semula kereta ke dalam.

Awak dah balik? Mari saya kenalkan dengan sepupu saya, Hakim.

Sepupu? Lelaki pula tu. Mengapa tidak dimaklumkan kepada aku terlebih dahulu. Masakan sepupu Athirah berani datang di kala aku tiada dirumah? Bukankah Athirah sudah berumahtangga, dengan aku!

Maaf kerana 'park' kereta di situ. Saya tak sangka pula awak nak balik.

Betul-betul kurang asam. Rumah aku. Mengapa pula aku tak boleh pulang ke sini. Berani pula tu menjangkakan supaya aku tidak pulang. Memang terbakar hati aku. Tambah-tambah melihat Athirah sentiasa tersenyum. Bukan main gembira lagi dia.

Marilah masuk. Kita makan lunch sama-sama.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Aku tiada selera melihat sepupu Athirah yang asyik menambah lauk kegemaran aku ke dalam pinggannya. Lauk sambal sotong itu adalah masakan kegemaranku. Dimasak khas untuk aku, bukan untuk Hakim!

Sedap sangat Athirah masak. Kalau hari-hari makan di sini pun saya tak kisah.

Tapi aku kisah. Pergilah makan di tempat lain. Bukan di dalam rumah aku. Semakin kecil pula aku lihat si Hakim ni. Nasi di dalam pinggan aku kepal-kepal kerana tiada selera untuk makan. Athirah pula tak habis-habis tersenyum dan kadang-kadang tergelak kecil dipuji oleh Hakim.

Tambah la lagi kalau sedap. Jangan malu-malu Hakim.

Aduh pedihnya di dalam hati aku. Terasa diketepikan pula oleh Athirah. Selama ini aku mengenepikannya. Tetapi hari ini berlainan pula situasinya. Nanti dulu! Mengapa aku perlu berasa sakit begini. Sekejap-sekejap aku jadi tak keruan. Apa yang sedang terjadi pada diriku? Adakah aku......cemburu?
Tamat bab enam

2 comments: